1.1 PENGENALAN
Konsep Masyarakat Penyayang telah diketengahkan
oleh Mantan Perdana Menteri kita yang
ketiga iaitu Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad di dalam sistem Wawasan 2020. Konsep
ini dilaksanakan bagi menaikkan lagi sifat-sifat murni di kalangan masyarakat
negara kita yang kini makin hilang pertimbangan dalam isu-isu sosial yang makin
meningkat dalam beberapa tahun ini. Maka terdapatlah cabaran-cabaran yang
terpaksa Negara kita hadapi jika mahu mencapai matlamat wawasan 2020.
Masyarakat penyayang telah tersenarai dalam cabaran-cabaran yang perlu dihadapi
dan terletaknya di cabaran yang ke-tujuh.
Selain itu, terdapat pelbagai isu-isu yang berkaitan
dengan gejala sosial remaja sekarang berpunca daripada masyarakat kita sendiri
kerana tidak pernah untuk mengambil tahu tentang apa yang terjadi di sekeliling
kita sendiri, contohnya kes pembuangan anak yang makin rancak di dalam
globalisasi kita sekarang. Dalam mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya
menyayangi ia merupakan satu sistem sosial yang mana kepentingannya masyarakat
adalah lebih utama daripada diri sendiri, yang mana kebajikan insan yang tidak
berkisar kepada seseorang tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang amat
kukuh bila berlakunya konflik di sekeliling seperti mana yang terjadi di PRU13
baru-baru ini.
Terdapat juga pelbagai matlamat dalam konsep
masyarakat penyayang yang akan diketengahkan contohnya ia mampu memelihara
maruah negara kita, ia juga mampu mengekalkan nilai-nilai ketimuran yang berada
di negara kita, ia juga mampu membentuk sebuah negara yang maju di pandangan
negara luar, dan lain-lain. Apa yang akan dibincangkan dalam kerja kursus ini
juga membincangkan tentang rasional masyarakat penyayang, cara-cara atau
peranan masyarakat penyayang, halangan-halangan masyarakat penyayang,
langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk menjadi masyarakat penyayang dan
juga terdapat definisi masyarakat penyayang dan sebagainya.
Untuk juga membina masyarakat
penyayang dalam pembinaan masyarakat cemerlang masa kini amat payah apabila
terdapat percanggahan pendapat di dalam politik negara kerana ini juga mampu
memanipulasikan pemikiran masyarakat zaman kini termasuklah di kalangan
golongan muda, tua dan sebagainya. Contohnya kes-kes perhimpunan BERSIH yang
sentiasa menjadi satu fenomena terbesar negara apabila melakukan rusuhan
terhadap kerajaan yang mampu membawa imej buruk kepada negara.
Dengan ini, idea yang telah
diberikan oleh Mantan perdana Menteri kita yang Keempat iaitu Tun Dr. Mahathir
Mohamad perlu diperkuatkan dan diperkukuhkan kerana ia ingin melaksanakan atau
mencapai konsep Wawasan 2020. Selain itu, konsep 1 MALAYSIA yang diketengahkan
pada masa kini juga mampu mencapaikan kita ke wawasan 2020 juga banyak
memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara kerana ia mampu menjadi titik
permulaan kembali dan sentiasa menuju ke hadapan bagi merealisasikan Matlamat
negara yang ingin menjadi sebuah negara yang aman dan damai tanpa berlakunya peperangan
yang sedang berlaku di negara luar sekarang.
2.0 MATLAMAT MASYARAKAT
PENYAYANG
Cabaran dalam Wawasan 2020 yang ketujuh adalah
mewujudkan masyarakat penyayang dan juga budaya penyayang. Wawasan 2020 ini
telah di wujudkan oleh mantan perdana menteri kita Yang Amat Berhormat Tun Dr.
Mahathir Mohamad. Masyarakat penyayang amat penting dalam pembinaan sebuah
Negara yang aman dan harmoni. Masyarakat akan dapat hidup berlandaskan nilai
kasih sayang antara satu sama lain. Masyarakat penyayang juga akan dapat
melahirkan rasa hormat-menghormati, saling memahami, bertolak ansur dan
sentiasa saling membantu antara satu sama lain. Pembentukan masyarakat
penyayang juga akan dapat memantapkan perpaduan dalam kalangan masyarakat
pelbagai kaum di Malaysia. Oleh itu, untuk mewujudkan hasrat murni ini semua
perlulah bekerjasama terutamanya dari kalangan pihak pemimpin kerana mereka
adalah golongan yang sentiasa menjadi perhatian dan ikon kepada masyarakat
bawahan. Mereka perlu menunjukkan sifat kasih sayang dan adil dalam setiap
perkara yang dilakukan supaya tidak mendatangkan sebarang perbalahan dalam
kalangan pemimpin dan juga orang yang dipimpin. Antara matlamat mewujudkan
masyarakat penyayang ini ialah dapat memelihara kedaulatan Negara . Sebuah
Negara yang aman dan stabil bermula dari bawah kerana tanpa rakyat yang bersatu
padu, keamanan tidak akan wujud dan diibaratkan seperti aur dengan tebing.
Kestabilan masyarakat amat penting kerana merangkumi semua aspek di dalamnya
seperti kestabilan ekonomi, politik dan sosial. Rakyat yang sering mengamalkan
sikap bertoleransi, hormat-menghormati dan bertolak ansur akan peka terhadap
tanggungjawabnya sebagai seorang rakyat Malaysia yang memerlukannya untuk terus
menjaga keharmonian dan kestabilan negara ini. Kekuatan ini akan menjadi
benteng kepada negara daripada menjadi mangsa pencerobohan kuasa-kuasa asing
seperti contoh yang pernah berlaku baru-baru ini yang mana negara kita di
masuki oleh pengganas di Lahad Datu, Sabah. Hal ini berlaku kerana kurangnya
kesedaran terhadap individu tentang kepentingan perpaduan dan sikap bekerjasama
antara satu sama lain. Hal ini boleh membawa kepada bencana yang buruk kepada
negara kita jika kita terus leka dan mengabaikan perpaduan. Selain
itu, penjajahan dalam zaman yang serba canggih ini bukan sahaja dilakukan
melalui kekuatan tentera tetapi juga melalui kecanggihan sistem teknologi
maklumat yang mereka miliki.
Di samping itu, kita juga perlu mengekalkan nilai-nilai ketimuran yang
telah wujud sejak dulu lagi supaya nilai-nilai tidak hilang ditelan zaman.
Sejak dulu lagi rakyat Malaysia memang terkenal dengan amalan nilai-nilai murninya
seperti tolong-menolong, peramah, hormat-menghormati dan bertimbang rasa serta
bekerjasama. Namun, apabila datangnya penjajahan barat ke negara ini, mereka
telah memperkenalkan nilai-nilai dari barat yang amat berbeza dengan
nilai-nilai timur. Kebanyakannya mereka menerapkan nilai yang negatif dan tidak
elok untuk diamalkan oleh rakyat negara ini seperti nilai individualistik,
materialistik dan menindas sehingga membawa kepada perpecahan dan saling
bertelagah antara satu sama lain. Malah, kini rakyat Malaysia telah
terikut-ikut dengan nilai yang negatif ini dan menghakis nilai-nilai murni yang
telah lama disemaikan dalam diri. Oleh itu, dengan adanya konsep masyarakat
penyayang ini akan dapat memupuk kembali nilai-nilai ketimuran yang semakin
ditinggalkan.
Seterusnya, membentuk sebuah negara yang maju dan dapat bersaing setaraf
dengan negara-negara membangun yang lain. Malaysia adalah sebuah negara yang
sedang meningkat maju dan kita perlu bersaing dengan negara-negara maju yang
lain untuk mencapai taraf yang sama dengan negara-negara maju yang lain seperti
China dan Jepun. Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan bahawa matlamat utama
yang patut kita tuju ialah Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya menjelang
tahun 2020. Kita perlu menyahut cabaran ini dan menjadikannya sebagai realiti
dan bukannya impian semata-mata. Untuk merealisasikannya kita semua perlu
bekerjasama dan berganding bahu dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara
yang maju. Kita juga perlu menjadikan negara maju yang sedia ada sebagai contoh
untuk kita membina negara kita sendiri dan bukannya mengikut semua yang telah
dilakukan oleh mereka. Oleh itu, matlamat Wawasan 2020 adalah membentuk sebuah
negara Malaysia yang benar-benar maju dari segala segi iaitu ekonomi, sosial,
kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Malaysia akan menjadi sebuah negara yang
maju tetapi mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi,
keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara. Oleh itu, masyarakat
penyayang amat perlu dalam membentuk negara maju kerana jika masyarakat tidak
bersatu padu dan bekerjasama, matlamat negara maju tidak akan dapat dijalankan.
Tanpa jiwa yang penyayang, kita akan mengulangi kesalahan negara yang maju yang
mengalami keruntuhan moral dan meruntuhkan nilai-nilai murni yang ada dalam di
dalam diri setiap orang. Kemajuan negara perlu selari dengan kemajuan individu
juga. Oleh itu, sama-samalah kita menjayakan matlamat ini dengan sepenuh hati
dan bersikap patriotisme.
3.0 RASIONAL MASYARAKAT PENYAYANG
Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan
nilai-nilai ketimuran sejak dahulu lagi. Nilai-nilai ketimuran ini adalah
seperti tolong-menolong, peramah, saling menghormati, merendah diri dan
bekerjasama. Kurangnya nilai ketimuran merupakan faktor yang menyebabkan
masyarakat bersikap individualistik tanpa memikirkan orang lain dan sikap
materialistik. Sikap yang sepatutnya saling menyayangi telah berubah kepada
sikap negatif yang menyimpang dari amalan budaya Malaysia. Perkara ini berlaku
disebabkan pengaruh daripada barat yang datang ke Malaysia sehingga mengubah
corak pemikiran masyarakat setempat. Masyarakat kini juga kurang mengambil
berat tentang isu-isu yang berkait rapat dengan konsep masyarakat penyayang
disebabkan terlalu sibuk dengan urusan peribadi sendiri atau pekerjaan.
Terdapat sesetengah golongan
antisosial yang cuba memecahbelahkan perpaduan yang sedia terjalin erat dalam
kalangan masyarakat di negara ini. Golongan ini telah merosakkan perpaduan
dengan cara yang berdemokrasi jalanan, sepanduk, penunjuk perasaan dan
sebagainya. Isu yang berkait rapat dengan perbincangan ini ialah HINDRAF dan
BERSIH yang menyebabkan berlakunya suasana huru-hara di negara ini. Hal ini
telah membimbangkan hampir seluruh rakyat Malaysia kerana perkara ini telah
menyebabkan berlakunya rusuhan kaum dan menjatuhkan martabat nama Malaysia.
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mengatasi masalah yang
harus dipandang serius oleh semua pihak dalam usaha menerapkan konsep
masyarakat penyayang.
Masyarakat masa kini lebih
mementingkan kekayaan dan kebendaan daripada kasih sayang kepada keluarga.
Mereka semakin leka bekerja, justeru, mengabaikan tanggungjawab kepada
anak-anak yang sepatutnya dipikul. Mereka juga beranggapan bahawa golongan tua
dan golongan orang kurang upaya (OKU) hanya memberi kerenah. Kebanyakan
golongan yang tidak mampu ini ditempatkan di rumah-rumah kebajikan masyarakat
dan rumah orang-orang tua. Keadaan ini menjadi buruk apabila anak-anak tiada
masa untuk menziarahi ibu bapa mereka. Perkara ini wujud daripada kesan tiada
nilai kasih sayang antara satu dengan yang lain dalam kalangan individu,
anak-anak, keluarga dan masyarakat. Perkara sedemikian harus dieratkan supaya
dapat melahirkan insan yang mempunyai hati yang murni serta belas kasihan terhadap
golongan yang memerlukan ini.
Sayang bukan sahaja tertumpu pada
manusia semata-mata. Sifat sayang kepada alam sekitar juga adalah perlu. Apa
yang jelas sekarang ialah sikap ini tidak ada dalam kalangan masyarakat. Mereka
sewenang-wenang memusnahkan alam sekeliling seperti hutan, mencemarkan sungai,
udara dan sebagainya. Perbuatan ini menyebabkan pengeluaran kos yang tinggi
untuk membuat pemuliharaan dan memelihara kawasan yang sudah tercemar.
Politik memainkan peranan penting
dalam memajukan sesebuah negara. Keadaan politik yang stabil dapat membantu
negara dalam mencapai sasaran atau matlamat seperti Malaysia yang mahu mencapai
sasaran wawasan 2020. Pergolakan yang berlaku ini menyebabkan masyarakat
sendiri tidak memahami tujuan sebenar Malaysia mencapai wawasan tersebut. Sikap
pihak perlu menggembleng usaha tanpa mengira corak pemikiran yang dibawa oleh
mereka. Pihak NGO ( Non- Government Organization) perlu membantu pihak kerajaan
dalam usaha melahirkan masyarakat penyayang. Seterusnya menjadikan Malaysia
salah sebuah negara yang aman dari segi ekonomi, politik dan sosial.
Akhir kata, terdapat pelbagai
rasional yang dapat dibincangkan untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Dalam
perbincangan ini kita dapat lihat bagaimana pihak yang berwajib memberi impak
yang besar terhadap mewujudkan masyarakat penyayang. Oleh itu, semua pihak
haruslah bekerjasama dalam mewujudkan masyarakat penyayang seterusnya dapat
melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu untuk memajukan negara
Malaysia.
4.0 PERANAN UNTUK
MENJADI MASYARAKAT PENYAYANG
4.1 PERANAN INDIVIDU
Biji
benih yang baik apabila ditanam akan menjadi buah yang ranum. Begitulah peranan
individu dalam membentuk masyarakat penyayang. Bagi membentuk masyarakat
penyayang, individu haruslah memberikan peranan yang penting. Seorang individu
perlu mempunyai sifat yang positif iaitu saling mengasihi, sabar, baik hati,
dan sebagainya. Menunjukkan bahawa individu tersebut mengamalkan nilai
masyarakat penyayang. Selain itu, seseorang individu tersebut sentiasa
mengamalkan budaya dan adat masing-masing kerana setiap budaya dan adat
mempunyai nilai estetika yang tersendiri dalam mewujudkan masyarakat penyayang.
Oleh itu, seseorang individu haruslah menanam sifat murni ini supaya dapat
mewujudkan masyarakat penyayang. Lantaran itu, seseorang individu juga dapat
meneruskan adat dan budaya masing-masing supaya tidak lapuk dek hujan, tidak
lekang dek panas.
4.2
PERANAN KERAJAAN DAN NEGARA
Peranan
kerajaan dalam membentuk masyarakat penyayang dapat dilakukan dengan banyak dan
pelbagai usaha. Pihak kerajaan ada mewujudkan jabatan kebajikan masyarakat
untuk memberi bantuan kepada masyarakat yang tidak mempunyai tempat tinggal dan
menyediakan rumah anak yatim piatu, rumah orang-orang tua dan sebagainya.
Selain itu, pihak kerajaan seharusnya mengadakan kempen pembentukan masyarakat
penyayang. Kempen tersebut haruslah memberi impak yang positif dalam mewujudkan
masyarakat penyayang. Seterusnya, sikap pemimpin mencerminkan keperibadian
rakyat. Pemimpin sesebuah negara haruslah bersikap seperti seorang yang
berkaliber dan berwibawa supaya rakyat menghormati malah menjadi ikon kepada
rakyat. Hal ini demikian kerana apabila pemimpin mempunyai sifat-sifat yang
disegani, rakyat akan akur pada pemerintahan beliau. Seterusnya rakyat akan
bersatu padu dan bekerjasama dalam mewujudkan masyarakat penyayang dan
bertoleransi antara satu sama yang lain.
4.3
PERANAN PENDIDIKAN
Sekarang
ini, subjek yang akan diajar di setiap sekolah di Malaysia adalah ditentukan
oleh kerajaan. Subjek seperti pendidikan moral dan pendidikan Islam dapat
memberi tahu nilai-nilai murni yang perlu ada pada setiap individu. Contohnya,
pendidikan moral mementingkan nilai murni seperti kepercayaan kepada tuhan,
mengasihi antara keluarga, menghargai alam sekitar dan banyak lagi. Begitu juga
dengan pendidikan Islam menerapkan perkembangan jasmani dan rohani. Pendidikan
Islam juga mendidik para pelajar menuju ke arah keperibadian yang lebih baik
serta menyempurnakan akhlak yang mulia. Selain itu, aktiviti kokurikulum juga
dapat menyemai nilai-nila murni seperti bekerjasama dalam kumpulan. Pelajar
dapat saling memahami dan membantu dalam menjalankan sesuatu program atau
aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
4.4
PERANAN BADAN-BADAN BUKAN KERAJAAN
Peranan
badan-badan sukarelawan (NGO) juga mempunyai peranan yang sangat berkesan untuk
membantu ke arah masyarakat penyayang seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita,
Gerakan Belia 4B Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan sebagainya.
Badan sukarelawan ini amat penting dalam masyarakat terutama membentuk
masyarakat penyayang. Peranan badan buka kerajaan juga membantu menerapkan
nilai-nilai murni yang menjadi landasan untuk mewujudkan masyarakat yang
bersatu padu malah turut mewujudkan masyarakat yang penyayang.
Tuntasnya,
terdapat pelbagai peranan yang perlu diamalkan oleh pelbagai pihak dalam
mewujudkan masyarakat penyayang. Oleh itu, semua pihak mestilah bekerjasama
dalam mewujudkan satu negara maju melalui konsep wawasan 2020 iaitu masyarakat
penyayang.
5.0 HALANGAN MEWUJUDKAN
MASYARAKAT PENYAYANG
Dalam meniti arus globalisasi, Malaysia semakin
mencapai ke arah negara maju. Pada masa kini, Malaysia dikenali sebagai negara
yang aman kerana walaupun penduduknya berbilang kaum, tetapi, mereka hidup aman
dan harmoni. Justeru itu, bagi mewujudkan satu negara yang maju, semua pihak
haruslah bekerjasama untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Walau bagaimanapun,
sekumpulan minoriti masih lagi tidak dapat mewujudkan masyarakat penyayang
dalam kalangan mereka. Selanjutnya, hal-hal sedemikian akan menyebabkan negara
akan kehilangan aset penting iaitu ‘Generasi Y’. ‘Generasi Y’ bermaksud
anak-anak muda. Generasi ini bakal menggantikan pemimpin negara pada masa akan
datang. Oleh itu, masyarakat penyayang harus dipupuk dalam diri anak-anak muda
pada masa kini. Dalam mewujudkan masyarakat penyayang, terdapat pelbagai
halangan yang harus dibincangkan.
Masyarakat penyayang boleh dipupuk dalam kalangan
keluarga. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam mewujudkan
situasi tersebut. Pada masa kini, ibu bapa tidak memainkan peranan penting
dalam mewujudkan masyarakat penyayang. Hal ini demikian kerana, mereka terlalu
sibuk dengan kerjaya mereka. Oleh sebab itu, anak-anak mereka dahagakan kasih
sayang daripada mereka. Anak-anak seharusnya diberi perhatian yang lebih kerana
mereka masih mentah dalam menjalani kehidupan. Selain itu, ibu bapa yang
tertekan dengan kerja mereka menjadikan anak sebagai tempat melepaskan tekanan.
Antaranya, mereka sanggup mendera anak mereka sehingga mengakibatkan kecederaan
yang serius pada anak tersebut. Oleh hal yang demikian, anak-anak akan menjadi
trauma dan memberontak untuk mendapatkan kasih sayang, seterusnya, anak-anak
akan terjebak ke kancah kegelapan untuk mendapatkan ketenangan. Antara kes yang
berlaku akibat daripada situasi tersebut ialah masalah mat rempit, pergaulan
bebas, buli dan sebagainya. Akhirnya, objektif
untuk mewujudkan masyarakat penyayang tidak kesampaian kerana ibu bapa
tidak memainkan peranan mereka.
Dalam mewujudkan masyarakat penyayang, pihak sekolah
juga turut terlibat. Hal ini demikian kerana, sekolah merupakan tempat yang
mana anak-anak di hantar untuk menimba ilmu. Selain ilmu yang ditimba,
guru-guru seharusnya memainkan peranan dalam memupuk nilai-nilai murni dalam
diri setiap pelajar. Lantaran itu, pelbagai program harus di jalankan bagi
memupuk semangat toleransi, kerjasama, disiplin dan kasih sayang dalam diri
pelajar. Selain itu, terdapat juga guru-guru yang tidak melaksanakan amanah
mereka seperti mana yang sepatutnya mereka laksanakan, bak kata pepatah
‘Harapkan pagar, pagar makan padi’. Perumpamaan ini menunjukkan bahawa
guru-guru dalam kumpulan ini mengakibatkan lahirnya generasi gelap. Antara
contoh yang berkaitan dengan perumpamaan tersebut ialah kes rogol, kekasaran pertuturan,
kes liwat dan sebagainya. Oleh itu, pihak atasan iaitu Guru Besar, memantau
setiap perkembangan pelajar dan guru di sekolah tersebut, supaya, kejadian
sebegitu tidak akan berlaku.
Halangan untuk mewujudkan masyarakat penyayang bukan
sahaja berada pada organisasi keluarga mahupun pihak sekolah, malah, masyarakat
sekeliling juga turut terlibat. Dalam perkara ini, masyarakat setempat
seharusnya mewujudkan satu organisasi yang dapat mengeratkan hubungan
silaturahim sesama mereka. Antara contohnya ialah, persatuan atau kelab yang
dapat menyatupadukan masyarakat setempat. Lantaran itu, terdapat juga
segelintir masyarakat yang tidak suka bergaul dan bersosial. Hal ini
disebabkan, arus pemodenan telah mendominasi pemikiran mereka. Mereka
menganggap bahawa bermasyarakat hanya membuang masa, malah, mereka lebih selesa
bersosial di alam maya. Walaupun arus pemodenan telah melahirkan banyak
teknologi canggih, namun, nilai kasih sayang tiada disemai dalam teknologi masa
kini. Nilai-nilai murni ini dapat disemai melalui praktikal, seperti,
bergotong-royong dan beriadah. Aktiviti ini yang akan mewujudkan nilai murni
tersebut. Oleh itu, masyarakat setempat harus memberikan kerjasama antara satu
dengan yang lain, supaya masyarakat penyayang dapat diwujudkan.
Selain daripada pihak yang telah dibincangkan di
atas, terdapat juga pihak yang bertanggungjawab dalam mewujudkan masyarakat
penyayang. Pihak tersebut ialah kerajaan. Pihak kerajaan seharusnya memainkan
peranan mereka agar negara sentiasa aman dan damai. Disebabkan kecuaian dari
pihak kerajaan, masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan. Hal ni demikian
kerana, permainan kerajaan yang sentiasa membingungkan rakyat, seterusnya
rusuhan mula timbul di sana sini. Malaysia dikenali sebagai bumi yang penuh
adat dan rakyatnya mempunyai budi pekerti yang tinggi. Pihak kerajaan yang
tidak bertanggungjawab telah menyebabkan masyarakat penyayang tidak dapat
diwujudkan. Selain itu, permainan suap-menyuap iaitu ‘Rasuah’ telah memberi
kesan yang mendalam terhadap negara. Negara menjadi mundur akibat daripada
pihak yang tidak bertanggungjawab mengamalkan jenayah kolar putih ini. Oleh
itu, pihak kerajaan perlu mengubah persepsi mereka dalam permainan politik ini.
Lantaran itu, mereka harus membanteras gejala rasuah ini supaya negara menjadi
lebih maju tanpa jenayah rasuah.
Akhir kata, terdapat pelbagai halangan untuk
mewujudkan masyarakat penyayang. Selain itu, halangan tersebut harus di
banteras bagi mewujudkan masyarakat penyayang. Tanpa masyarakat penyayang,
negara akan mundur, serta, aset negara akan musnah. Oleh itu, semua pihak harus
bekerjasama dalam menangani masalah ini, supaya, negara lebih harmoni dalam
mencapai Wawasan 2020.
6.0 LANGKAH-LANGKAH
MEMUPUK MASYARAKAT PENYAYANG
Setelah membincangkan tentang isu
masyarakat penyayang secara amnya, kini terdapat langkah-langkah yang boleh
kita memupuk masyarakat penyayang dalam pembinaan masyarakat yang cemerlang di
Malaysia ini. Bagaimanakah langkah kita sebagai masyarakat untuk memupuk
semangat penyayang pada diri masing-masing agar mencapai konsep masyarakat
penyayang? Adakah langkah yang kita ambil boleh mencapai konsep yang pernah
diketengahkan oleh Mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Jadi kita boleh bincangkan langkah-langkahnya dengan lebih terperinci bagi
memupuk masyarakat penyayang di negara kita sendiri.
Sebagai rakyat yang sentiasa hidup
dalam kelompok yang besar kita tidak perlu mengamalkan corak hidup yang
mengagungkan nilai-nilai duniawi dan materialistik. Sikap seperti ini akan
mengundangnya perangai atau sikap yang tidak bertanggungjawab kerana mereka
hanya mengagungkan nilai-nilai duniawi dan materialistik. Mengapa sikap ini
yang diketengahkan kerana sikap masyarakat kini hanya menilai taraf kehidupan
berbanding dengan sikap-sikap masyarakat. Mereka hanya mementingkan diri dan
sentiasa bergaul dalam kelompok masing-masing. Contoh yang boleh kita sendiri
gambarkan adalah segelintir masyarakat yang tarafnya tinggi sahaja boleh
bergaul dengan orang yang sama taraf dengannya yang menyebabkan sikap yang
mementingkan diri dan sentiasa memandang serong terhadap golongan rendah.
Perkara ini juga berlaku di negara-negara luar juga bukan sahaja di negara kita
sendiri. Hal ini juga boleh dikatakan sikap masyarakat yang sentiasa
mengejar-gejar kekayaan di dunia tanpa memikirkan masyarakat yang ada di
sekeliling dan mengabaikan sikap atau peranan sebagai seorang masyarakat
penyayang.
Selain itu, untuk mencapai konsep
yang telah diberikan langkah seterusnya ialah kita sebagai masyarakat haruslah
mengekalkan hidup tradisi yang telah berubah kepada kehidupan moden. Kehidupan
moden zaman kini juga memainkan peranan yang sangat besar kepada negara kita
kerana ia menunjukkan sikap modenisasi yang agak serius terhadap masyarakat
kita. Masyarakat yang tidak memupuk semangat tradisi semakin pudar apabila
anak-anak remaja atau muda kini tidak dititikberatkan dengan tradisi sejak
beberapa tahun ini kerana mereka telah diberikan satu media elektronik yang
sangat canggih pada zaman sekarang. Contohnya ialah gadget yang semakin maju
sehingga remaja sekarang tidak ada nilai kunjung –mengunjungi jiran sebelah
mahupun sudah lama duduk di kawasan yang sama. Hal ini juga menjadi sesuatu isu
yang tidak dapat kita sendiri sebagai masyarakat dengan kejadian kehilangan
adik Nurin Jazlin yang akhirnya ditemui dibunuh pada 20 Ogos 2007. Kejadian ini
sangat mengemparkan seluruh Malaysia kerana tidak ada sikap bertanggungjawab
sekiranya ternampak kanak-kanak sesat mahupun berjalan seorang diri, kerana
apa? Kerana mereka sibuk dengan media-media yang semakin berkembang serta tidak
menghiraukan keadaan sekeliling.
Bagaimanapun, terdapat juga langkah
atau peranan ibu bapa sebagai titik permulaan untuk menjadikan anak-anak
tergolong dalam komuniti masyarakat penyayang. Ibu bapa perlu memulakan langkah
yang pertama bagi memastikan anak-anak zaman sekarang memahami konsep yang
telah mantan perdana menteri keluarkan tentang masyarakat penyayang. Ibu bapa
sekarang sudah tidak mengamalkan sikap hormat- menghormati terhadap warga tua
mahupun remaja sekarang. Apa yang kita dapat melihat sekarang, ibu bapa
berperanan membiarkan sahaja apa yang berlaku kepada anak-anak jiran. Perkara
ini sepatutnya tidak berlaku kerana mereka sepatutnya menunjukkan sikap yang
positif terhadap masyarakat sekeliling. Peranan ibu bapa perlulah bersikap yang
lebih ke hadapan tentang tingkah laku anak sendiri mahupun anak jiran kerana ia
mampu menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam menjamin masa depan negara.
Contoh yang baik datangnya daripada kelakuan ibu bapa sendiri maka seharusnya
ibu bapa perlu meneruskan sikap kunjung–mengunjungi jiran tetangga agar anak
mereka memahami sikap kejiranan di negara kita sendiri. Contoh diberikan
seperti mana iklan di televisyen di mana menceritakan tentang sikap manusia
yang sering memarahi jiran disebabkan meletakkan sampah yang baru di halaman
rumah, bila berlakunya kecemasan orang yang dimarahi tadi yang menolong
menghantar ke hospital. Itu lah sikap yang sentiasa kita perlu contohi kerana
ia merupakan salah satu nilai-nilai murni yang boleh membawa kita ke arah
masyarakat penyayang dan untuk membina masyarakat cemerlang di mata dunia.
Sikap seseorang itu juga memainkan
peranan dalam membina masyarakat penyayang kerana ia perlu datang dari sikap
seseorang itu sendiri menunjukkan sikap yang prihatin mahupun sikap
bertanggungjawab ke atas negara kita sendiri. Seseorang itu perlu mengetahui
isu-isu semasa tentang kelakuan remaja zaman sekarang. Ia bukan sahaja
melibatkan politik tetapi ia juga berkaitan dengan sosial-sosial remaja sekarang.
Kita sepatutnya tidak menentang mereka-mereka yang telah melakukan kesilapan
sebelum ini dengan menghindari mereka serta menghina mereka di mata masyarakat.
Seharusnya kita sebagai individu yang bermoral dan cukup akal dan fikiran perlu
membimbing mereka ke arah yang maju demi masa depan mereka sendiri. Sebagai
individu yang prihatin, kita perlu menggunakan pepatah “jangan biarkan pisang
berbuah dua kali” kerana kita perlu membimbing dan sentiasa bersama mereka
kerana ia akan membantu memulakan cara hidup yang baru agar tidak lagi
terjerumus dalam gejala sosial lagi. Kes-kes buang bayi yang baru dilahirkan
menjadi satu perkara biasa di negara kita kerana sikap individu yang tidak
bertanggungjawab tetapi perkara ini tidak boleh disalahkan atau menuding jari
kepada mereka sahaja kerana mereka sendiri tidak diterima oleh masyarakat atau
individu-individu yang selalu memandang serong terhadap mereka, jadi kita perlu
membantu mereka agar tidak lagi terjadi perkara yang sedemikian. Sikap-sikap
yang sentiasa memandang serong terhadap kalangan remaja yang bermasalah harus
dihindarkan kerana ia mungkin menjejaskan peranan seseorang yang ingin membawa
kepada kebaikan. Pepatah selalu berkata “ jangan kerana nila setitik rosak susu
sebelanga”. Maka kita perlulah memberikan bimbingan kepada mereka yang
bermasalah agar kita mampu mencapai konsep masyarakat penyayang demi membina
masyarakat cemerlang di mata dunia.
Untuk mencapai status masyarakat
penyayang, ia juga tidak tertumpu di dalam skop manusia sahaja, ia juga
melibatkan persekitaran kita. Bukan hanya prihatin terhadap masyarakat boleh
membuat kita sebagai seorang masyarakat yang prihatin sekiranya sikap kita
terhadap kehidupan lain terjejas. Contohnya sekarang di alam siber kecoh dengan
penganiayaan bintang yang agak melampau menyebabkan sifat kemanusiaan di dalam
diri manusia makin hilang dan tidak mempunyai sifat belas kasihan terhadap
bintang yang telah diseksa oleh mereka yang sangat kejam. Selain itu, kita
sebagai manusia boleh melihat sendiri macam mana masyarakat kita kini suka
membuat perkara-perkara yang tidak rasional dengan tindakan bila melakukan
perbuatan terkutuk terhadap bintang yang tidak berdosa.hal ini dipertikaikan
untuk menunjukkan sifat-sifat penyayang di dalam diri masyarakat kita kini makin
pudar dan harus segera diubah agar kita mampu menunjukkan kepada negara luar
bahawa negara kita sendiri memiliki sifat-sifat yang prihatin, penyayang serta
bertanggungjawab terhadap masyarakat dan juga kepada benda hidup di muka bumi
ini.
Dari segi pihak negara pula,
masyarakat penyayang akan terbentuk apabila wujudnya kerajaan yang memainkan
peranan seperti mewujudkan program-program kemasyarakatan di negara kita.
Malaysia yang kaya dengan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama
boleh memberikan satu peluang yang amat bagus untuk membina masyarakat yang
boleh hidup di bawah satu pemerintahan yang aman dan damai, tetapi terdapat
juga pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab membuat negara kita menjadi kucar
kacir seperti yang berlaku pada demokrasi BERSIH pada tahun lalu yang
menyebabkan pelbagai kemusnahan dan imej negara jatuh di mata negara luar. Perkara ini tidak seharusnya berlaku pada
negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Selain itu, negara juga
telah membuat sambutan-sambutan hari kebangsaan yang melibatkan seluruh negara
bersatu bagi mencapai matlamat walaupun berbilang kaum, agama dan bangsa. Ini
juga merupakan salah satu cara kita ingin memupuk semangat kemasyarakatan dalam
kalang remaja dan golongan yang sentiasa mementingkan hal-hal dunia.
Tertubuhnya badan-badan yang membantu golongan yang tidak bernasib baik juga
memberikan satu harapan dan cahaya kepada mereka agar lebih memahami tentang
konsep hidup yang memerlukan satu di antara yang lain. Contohnya rumah pengasih
yang sentiasa memberikan harapan kepada golongan anak muda.
Maka, konsep masyarakat prihatin ini
juga memberikan sesuatu nilai-nilai murni yang membolehkan kita mencapai negara
yang gemilang di mata dunia apabila langkah-langkah ini diambil berat oleh setiap
masyarakat yang hidup di dalam negara Malaysia yang aman dan damai ini. Selain itu, Malaysia juga merupakan salah
satu negara yang dianggap mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi kerana ia
mampu memberikan imej yang sangat ternilai bila kita sendiri yang mengamalkan
sifat-sifat prihatin, sopan santun, jujur di dalam setiap perwatakan kita.
7.0 KESIMPULAN
Dalam perbincangan ini, kita dapat
melihat secara terperinci tentang bagaimana mewujudkan masyarakat penyayang.
Selain itu, terdapat juga beberapa halangan dan cabaran untuk mewujudkan
masyarakat penyayang. Pada masa kini, masyarakat semakin leka dan lena dibuai
arus pemodenan. Oleh itu, untuk mewujudkan masyarakat penyayang akan menjadi
cabaran kepada negara dalam menuju ke arah negara maju.
Perbincangan ini juga, mengemukakan
tentang langkah-langkah yang perlu ada bagi mewujudkan masyarakat penyayang.
Antara langkahnya ialah mengucapkan nilai-nila murni, bersosial secara sihat
sesama masyarakat seperti iklan “berbudi bahasa budaya kita”. Tindakan kerajaan
dalam melaksanakan masyarakat penyayang dan sebagainya. Hal ini, akan memberi
kesan yang besar dalam perubahan sikap masyarakat pasca merdeka ini. Justeru
itu, pelbagai tindakan telah dilaksanakan oleh pihak yang terlibat dalam
mewujudkan masyarakat penyayang bak kata “ yang tua dihormati, yang muda
disayangi”.
No comments:
Post a Comment